Polis belum menerima sebarang maklumat berhubung kemungkinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipindahkan dari Penjara Kajang ke kediamannya di Jalan Langgak Duta bagi menjalani tahanan rumah.
Foto: Utusan Malaysia
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam berkata, pihaknya juga belum memperoleh makluman daripada Jabatan Penjara mengenai perkara berkenaan.
Menurut beliau, penugasan anggota polis di sekitar kediaman Najib diteruskan seperti biasa.
Sementara itu, suasana di kawasan berkenaan pagi ini dilaporkan tenang meskipun perhatian tertumpu kepada kemungkinan bekas Perdana Menteri itu dibawa pulang.
Tinjauan mendapati sebuah van polis berada di kawasan tersebut, manakala beberapa kon keselamatan diletakkan di sepanjang laluan menuju ke kediamannya. Namun, tiada persiapan khusus bagi menyambut kepulangan Najib kelihatan ketika tinjauan dilakukan.
Sebelum ini, sebuah balai polis bergerak ditempatkan berhampiran kediaman berkenaan sebagai persediaan keselamatan sekiranya pemindahan dilaksanakan.
Langkah itu bertujuan memastikan keselamatan petugas media, penduduk serta penyokong terjaga, di samping mengawal kemungkinan kesesakan lalu lintas.
Semalam, pihak pembelaan memaklumkan Najib akan menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd secara tahanan rumah bersama keluarganya di Langgak Duta.
Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dilaporkan berkata, Najib menerima perintah tahanan rumah daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berserta lampiran mengenai syarat dan mekanisme pelaksanaan.
Foto: Astro Awani
Bagaimanapun, menurut Muhammad Shafee, perincian pelaksanaan perintah tersebut tidak boleh didedahkan atas arahan Jabatan Penjara.
Beliau turut menjelaskan bahawa penolakan Mahkamah Tinggi terhadap permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak menghalang pelaksanaan tahanan rumah bagi baki hukuman kes SRC International.
Pada 18 September lalu, Sultan Ibrahim dilaporkan memperkenan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman kes SRC International secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Pelaksanaannya bagaimanapun tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Sumber: Berita Harian (Nor Azizah Mokhtar)




