Polis beri amaran penduduk jangan jadi tali barut penyeludup

Polis beri amaran penduduk jangan jadi tali barut penyeludup

am@hmetro.com.my

Jitra: Polis memberi amaran kepada penduduk berhampiran sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini supaya tidak bersekongkol dengan penyeludup.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya mereka ditangkap menjadi tali barut serta pemberi maklumat kepada sindiket penyeludupan atau pun transporter.

“Sekiranya ada bukti, tindakan tegas akan diambil seperti mana kes dadah sebelum ini yang mana penduduk di sempadan di negeri ini kita tangkap dan tuduh di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Tidak ada alasan lagi diterima termasuklah naik teksi atau motosikal walaupun beritahu nak cari rezeki dengan bawa teksi atau motosikal, tetap akan dikenakan tindakan tegas,” katanya pada sidang media di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Adzli turut meminta kerjasama orang ramai terutama penduduk di sempadan yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan menyalahi undang-undang agar menyalurkannya kepada pihak polis dengan identiti mereka dirahsiakan.

Katanya, selain itu Polis Kedah akan terus memperketatkan lagi kawalan di sempadan di negeri ini bagi mengelak ia menjadi laluan alternatif kepada sindiket penyeludupan termasuk dari Pantai Timur.

“Langkah itu dilakukan susulan polis Kelantan bertindak merobohkan pengkalan haram di sepanjang sungai yang bersempadan dengan negara jiran, Thailand.

“Ia juga susulan tindakan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) yang turut memperketatkan kawalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Ketua Polis Kelantan sudah bertindak merobohkan jeti haram, manakala Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain pula memperketatkan KLIA, jadi kita akan ketatkan kawalan di sempadan negeri ini juga,” katanya.

Adzli berkata, susulan daripada itu, beliau sudah mengarahkan seluruh pegawai dan anggota supaya terus memperketatkan sempadan dan kita tidak mahu Bukit Kayu Hitam dan Padang Terap dijadikan laluan alternatif.

Beliau berkata, bulan lalu, pihaknya berjaya mematahkan dua kes penyeludupan migran warga Indonesia dari negara jiran menerusi sempadan Bukit Kayu Hitam.

“Dalam kes itu, agak pelik sebab warga asing dari Indonesia masuk ke Kedah melalui Thailand dan kita sedang siasat perkara ini.

“Ini yang saya kata petunjuk yang kita sudah sedar kenapa dari Indonesia nak masuk Malaysia, lalu Bangkok masuk Bukit Kayu Hitam,” katanya.

Menurutnya, penguatkuasaan perlu diperketatkan dengan pelbagai strategi dan salah satunya adalah melakukan sekatan jalan raya pada hari cuti hujung minggu dan cuti umum iaitu ketika aliran kenderaan serta pelancong keluar masuk tinggi.

Katanya, ini kerana hasil risikan pihaknya mendapati, penyeludup biasanya mengambil kesempatan semasa aliran tinggi pelancong di pintu sempadan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top