KULAI: Polis memberkas dua beranak dipercayai membaling botol dipercayai berisi petrol di Jalan Pangsa 5, Kampung Baru, di sini dalam masa kurang tiga jam selepas melakukan perbuatan itu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, kedua-dua suspek berusia 24 dan 48 tahun itu ditahan awal pagi semalam di sekitar kawasan Indahpura, di sini.
Beliau berkata, tangkapan dibuat susulan aduan oleh seorang lelaki warga tempatan pada pukul 10.55 malam kelmarin memaklumkan sekumpulan lelaki menaiki motosikal bertindak membaling botol dipercayai berisi petrol ke halaman rumahnya.
Katanya, perbuatan suspek berkenaan menyebabkan berlaku kebakaran kecil di halaman rumah tersebut serta kereta jenis Proton Persona.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari balai polis Kulai membuat tangkapan ke atas suspek iaitu seorang anak dan bapanya di kawasan perumahan Indahpura kira-kira 1 pagi semalam.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham di antara jiran dan tidak ada kaitan dengan Ah long,” katanya di sini hari ini.
Beng Yeow berkata, anggaran kerugian yang dialami mangsa masih dalam siasatan pihak polis di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan..
Katanya, hasil semakan rekod lampau keatas suspek mendapati kedua-dua mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah.
“Pihak polis masih lagi mengesan beberapa lagi rakan suspek yang masih bebas bagi siasatan lanjut. Suspek dua beranak itu direman selama lima hari bermula semalam hingga Selasa ini bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN