am@hmetro.com.my
Shah Alam : Polis membongkar kegiatan judi daun terup dan sabung ayam yang berselindung di sebuah pondok kayu menerusi serbuan di Jalan Kunci Air, Kampung Delek Kiri, Klang, semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 1 pagi itu, enam lelaki termasuk tiga warga asing berusia antara 31 hingga 50 tahun ditahan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, serbuan itu hasil risikan dan maklumat berhubung aktiviti perjudian yang dipercayai aktif di kawasan berkenaan.
Katanya, pemeriksaan lanjut di lokasi menemukan sebuah gelanggang kecil sabung ayam selain empat ekor ayam yang dipercayai digunakan untuk tujuan pertaruhan dan perjudian.
“Semua suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk tindakan lanjut.
“Hasil ujian saringan air kencing terhadap semua suspek didapati negatif dadah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, semua suspek direman selama tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 32(1) dan 32(2) Akta Kebajikan Haiwan 2015 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




