am@hmetro.com.my
Padang Besar: Polis membongkar taktik pengedaran dadah menggunakan syarikat kurier selepas merampas empat kotak mengandungi dadah jenis ganja seberat 16.6 kilogram (kg) bernilai lebih RM50,000 di Padang Besar pada minggu lalu.
Dalam kejadian pada 22 Januari itu juga, polis turut memberkas seorang penganggur berusia 21 tahun dari Kangar yang dipercayai terbabit dalam menyeludup dadah menggunakan taktik berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, sekitar jam 3.30 petang polis mengesan seorang lelaki berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan Bulatan Padang Besar.
“Suspek menerima empat kotak berwarna putih yang dipercayai mengandungi bekalan dadah daripada sindiket penyeludupan sempadan Malaysia-Thailand dan anggota kita segera mengekori suspek yang kemudian membawa kotak berkenaan ke sebuah syarikat kurier.
“Suspek yang masih bujang itu kemudian ditahan di sebuah rumah di Kampung Melayu Padang Besar manakala dalam masa yang sama anggota polis berjaya menyekat penghantaran kotak berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut yang dijalankan pada empat kotak itu menjumpai ketulan mampat dan cecair dadah jenis ganja dengan anggaran berat 16.6 kg bernilai RM51,646 yang akan dihantar kepada rangkaian sindiket dadah di negara ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Katanya, bekalan dadah berkenaan diseludup dari Songkhla, Thailand dan akan dipasarkan ke seluruh negara.
“Kita percaya sindiket ini sudah aktif sejak 2023 dan mereka menggunakan modus operandi dengan mengupah warga tempatan sebanyak RM800 untuk menghantar kotak ke pelanggan.
“Sindiket ini menggunakan kurier adalah disebabkan kebanyakan syarikat kurier tiada alat pengimbas atau ‘scanner’ untuk mengetahui isi kandungan barang di dalam kotak.
“Bekalan ganja yang dirampas ini boleh digunakan seramai 33,320 penagih dadah di negara ini,” katanya.
Beliau berkata, saringan ujian air kencing pada suspek mendapatinya positif dadah jenis ketamine.
“Suspek bertindak sebagai penghantar kotak dadah ke syarikat kurier itu dan namun dipercayai mempunyai peranan aktif dengan aktiviti pengedaran itu disebabkan suspek tahu akan isi kandungan kotak itu.
“Suspek direman sehingga 30 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




