am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Polis membuka satu kertas siasatan berhubung kenyataan sensitif didakwa dikeluarkan ahli politik dalam ceramahnya di Unit Daerah Mengundi (UDM) Bertam Baru di sini, sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Nenggiri.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kenyataan itu dibuat ahli politik berkenaan pada 3 Ogos lalu dan laporan polis dibuat seorang Ahli Jawatankuasa UMNO Gua Musang berusia 29 tahun.
“Kita membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan susulan kenyataan itu yang turut tular di media sosial,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Balai Polis Kok Lanas di sini, hari ini.
Terdahulu, tular satu kenyataan seorang ahli politik berhubung isu sebahagian besar permohonan pemilikan tanah yang sudah diluluskan oleh kerajaan negeri tidak diselesaikan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).
Dalam perkembangan sama, Muhamad Zaki berkata, setakat ini kempen PRK Dun Nenggiri berlangsung aman dan tiada sebarang provokasi yang menggugat keselamatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd