Polis buka kertas siasatan program senaman aerobik tidak senonoh

Polis buka kertas siasatan program senaman aerobik tidak senonoh

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Polis membuka kertas siasatan susulan video tular di laman sosial berhubung program senaman aerobik yang berkelakuan mengaibkan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, terdahulu polis mengesan gambar dan video program itu di Facebook jam 11.13 pagi hari ini.

Beliau berkata, senaman aerobik itu juga dibuat secara langsung dalam aplikasi TikTok.

“Program terbabit diadakan di Dewan Orang Ramai Bukit Badong, Bestari Jaya, Kuala Selangor.

“Semasa berlangsung, terdapat seorang individu bertudung dan berpakaian seragam sekolah tidak memakai kain manakala seorang lagi hanya memakai seluar ‘legging’,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Azaharudin berkata, hasil siasatan awal mendapati senaman aerobik atau zumba itu bertemakan ‘Back To School’.

Katanya, salah seorang dari pengikut menanggalkan kain sekolah yang dipakai bagi memudahkan pergerakan.

“Susulan kejadian, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa gambar di laman sosial memaparkan wanita berpakaian seragam sekolah melakukan aktiviti senaman aerobik dalam keadaan tidak sopan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top