am@hmetro.com.my
Tanjong Karang: Polis memburu dua lelaki cuba menyamun pemandu lori yang sedang tidur dalam kenderaannya berhampiran stesen minyak di Parit 4 di sini, kelmarin.
Dalam kejadian itu, pemandu berusia 54 tahun itu cedera di tangan dan kaki terkena kaca.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya masih mengenal pasti identiti suspek.
“Ketika ini kenderaan suspek juga belum dapat dikesan kecuali jenisnya yang berkemungkinan Honda atau Toyota Vios,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.
Media sebelum ini melaporkan pemandu lori cedera dalam cubaan samun ketika berhenti rehat selepas perjalanan dari Klang ke Butterworth, Pulau Pinang.
Mangsa yang 30 tahun memandu lori dikatakan kerap berhenti rehat di kawasan kejadian.
© New Straits Times Press (M) Bhd