Kluang: Polis memburu seorang lelaki tempatan yang melarikan diri dari Pusat Tahanan dan Penerimaan (PTP) di Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Padang Hijau dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, pihaknya menerima laporan daripada warden penjara yang memaklumkan empat lelaki tempatan melarikan diri dari PTP pada 4.50 petang.
“Pegawai warden juga memaklumkan tiga daripada suspek berkenaan berjaya ditahan semula oleh pihak penjara, manakala seorang lagi berjaya melarikan diri.
“Suspek yang melarikan diri itu adalah Mahadie Khaidir dari Bukit Payong, Jertih, Terengganu.
“Keempat-empat suspek berkenaan merupakan banduan yang sudah didakwa di mahkamah dan dihantar ke Kem PLKN terbabit bagi tapisan keselamatan Covid-19 selama 14 hari sebelum dibawa ke Penjara Ulu Choh,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, susulan itu polis melakukan ‘Op Tutup’ di pintu keluar dan masuk seluruh daerah ini.
“Usaha mengesan suspek masih dijalankan oleh pihak polis dan anggota penjara serta mendapat bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) penjara.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 223 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan,” katanya.
Low berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat bagi membantu pihak polis boleh menyalurkannya ke balai polis berdekatan atau hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di talian 07-7784256 atau 014-3656822.
