Polis buru ejen tarik kereta halang laluan lebuh raya

Polis buru ejen tarik kereta halang laluan lebuh raya

am@hmetro.com.my

Rembau: Polis masih memburu dua lagi pemandu kenderaan yang dirakam menghalang laluan kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Hentian Sebelah Pedas-Linggi, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Hasani Hussain berkata, pihaknya juga masih menjalankan siasatan jumlah sebenar individu yang terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Seorang sudah ditahan tengah malam kelmarin di sekitar Seremban dan kami masih memburu suspek yang masih bebas dalam dua lagi kereta yang dirakam dalam kejadian ini.

“Kami juga sedang menyiasat jumlah suspek yang terbabit kerana belum pasti sama ada terdapat penumpang lain di dalam kedua-dua kereta terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, suspek yang sudah ditahan kini direman sehingga Isnin bagi membantu siasatan.

Justeru katanya, individu yang disyaki terbabit diminta untuk memberikan kerjasama dengan tampil menyerah diri ke balai polis atau terus ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Rembau.

“Berdasarkan maklumat awal, mereka ini adalah ejen tarik kereta dan tujuan mereka halang laluan dipercayai untuk menarik sebuah kenderaan. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Noor Fathiah Ak’Dilah Ishak di talian 010-5825384 atau Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Siti Nur Balqes Abdul Rahim di talian 019-7992519, atau menghubungi terus Bilik Gerakan IPD Rembau di 06-6851999.

Semalam, media melaporkan tiga kereta dirakam sengaja menghalang semua laluan di lokasi dan tindakan itu yang disifatkan berbahaya turut tular di media sosial sejak kelmarin hingga menimbulkan kecaman netizen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top