am@hmetro.com.my
Melaka: Pekerja kedai serbaneka di Taman Sin Hoe, Bukit Baru di sini, cedera di kepala dipercayai dipukul dengan kayu besbol oleh perompak dalam kejadian samun di premis perniagaan itu, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian 4.40 pagi ketika mangsa berusia 20 tahun itu bertugas sendirian.
Menurutnya, hasil temu bual awal, mangsa memaklumkan ketika kejadian, suspek meminta kredit tambah nilai Touch n Go ewallet sebanyak RM50.
“Namun, secara tiba-tiba suspek bertindak memegang laci mesin juruwang hingga berlaku pergelutan dengan mangsa yang cuba menghalang.
“Semasa pergelutan suspek mengeluarkan senjata dipercayai sebatang kayu besbol yang dibalut dengan kain hitam dan memukul sebelum melarikan diri bersama-sama laci mesin juruwang yang mengandungi wang tunai,” katanya kepada media.
Beliau berkata, mangsa cedera di bahagian kepala sebelah kanan dan masih dirawat di Hospital Melaka serta dilaporkan stabil.
“Mangsa tidak dapat mengenal pasti muka suspek yang memakai topi keledar dan pelitup muka.
“Selepas kejadian mangsa menghubungi pengurus stor kedai memaklumkan kedai disamun dengan anggaran kerugian kira-kira RM300,” katanya.
Mengulas lanjut, Christopher berkata, hasil siasatan di tempat kejadian, pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka menemukan tiga kesan cap jari iaitu di permukaan pemegang pintu bahagian luar pintu masuk dan di atas kaunter bayaran.
“Calitan darah turut diambil di tempat kejadian untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi membuat perbandingan DNA (DNA).
“Kita juga akan mendapatkan salinan rakaman kamera litar tertutup di kedai berkenaan bagi mengesan suspek yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC135,” katanya sambil memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular dua video di WhatsApp berdurasi 17 dan enam saat memaparkan mangsa sedang menahan kesakitan di kepala dan terdapat kesan darah di atas lantai selain beberapa barangan jualan turut bertaburan di atas lantai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




