Kuala Lumpur: Polis memburu saki-baki anggota kumpulan bersenjata yang dikenal pasti terbabit dalam kes rompakan sebuah kedai emas di Plaza Metro Kajang, Jun lalu, yang seorang daripada anggotanya maut selepas berbalas tembakan dengan polis di sekitar Kajang, semalam.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis percaya mereka masih bersembunyi di sekitar Selangor, dan beberapa tangkapan akan dilakukan tidak lama lagi.
“Polis percaya anggota kumpulan ini bersenjata dan berada di sekitar Selangor,” katanya kepada Bernama.
Dalam kejadian kira-kira 3 petang semalam, seorang lelaki yang mempunyai enam rekod jenayah samun maut selepas berbalas tembak dengan polis di susur masuk ke Tol Sungai Balak, Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Lingkaran Kajang (SILK) dekat Kajang, Selangor.
Polis percaya lelaki itu adalah salah seorang anggota kumpulan yang terlibat dengan kejadian pada 17 Jun lalu yang menyaksikan empat lelaki menggunakan senjata api melakukan samun terhadap sebuah kedai emas Plaza Metro Kajang yang mengakibatkan kerugian RM3.2 juta.
Dalam kejadian di Plaza Metro itu, suspek yang bersenjatakan dua pucuk pistol dan selaras senapang telah melepaskan satu das tembakan ke arah dinding premis sebelum melarikan diri ke arah tempat letak kenderaan di bahagian bawah bangunan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



