bhnews@bh.com.my
KLUANG: Polis giat memburu seorang lelaki warga tempatan yang melarikan diri daripada Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Padang Hijau, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, polis kini menjalankan Op Tutup di semua jalan keluar dan masuk daerah Kluang.
“Usaha mengesan suspek masih dijalankan polis dan anggota penjara serta khidmat anjing pengesan K9 penjara turut digunakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menjelas lanjut, Hang Seng berkata, polis menerima laporan daripada warden penjara pada jam 4.50 petang semalam memaklumkan empat lelaki warga tempatan melarikan diri dari Pusat Tahanan dan Penerimaan di PLKN Padang Hijau Batu 13, Jalan Mersing – Kluang.
“Pegawai warden memaklumkan tiga daripada suspek berjaya ditangkap semula pihak penjara, manakala seorang lagi suspek melarikan diri.
“Keempat-empat banduan dituduh di mahkamah dan dihantar ke kem PLKN terbabit bagi tapisan keselamatan COVID-19 selama 14 hari sebelum dihantar ke Penjara Ulu Choh.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada balai polis berdekatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di talian 07-7784256 atau 014-3656822.
© New Straits Times Press (M) Bhd




