Polis buru tiga individu larikan seorang lelaki dalam pergaduhan di Puchong

Polis buru tiga individu larikan seorang lelaki dalam pergaduhan di Puchong

harisfadli@hmetro.com.my

Subang Jaya: Seorang lelaki dipercayai dilarikan sekumpulan lelaki apabila dia ‘disumbat’ ke dalam sebuah lori selepas berlaku insiden pergaduhan di tengah jalan di Jalan Persiaran Puchong Permai, di sini, semalam.

Kejadian itu tular di media sosial selepas satu klip video berdurasi 15 saat dimuat naik oleh seorang pengguna yang merakam insiden berkenaan menggunakan telefon bimbitnya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai satu pergaduhan di Jalan Persiaran Puchong Permai.

“Pemberi maklumat menyatakan mangsa seorang lelaki tempatan dibawa lari oleh suspek iaitu tiga lelaki tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti dan mengesan individu yang terbabit dalam kejadian itu.

Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Dinesh Ganasan di talian 011-33094457.

Orang ramai juga boleh menghubungi talian Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di talian 03-7852 7222 atau 03-7862 7100.

Terdahulu, tular satu klip video berdurasi 15 saat memaparkan beberapa lelaki dipercayai warga tempatan bergelut dengan mangsa di belakang sebuah lori jenis bonded.

Kejadian itu berlaku di tengah-tengah jalan raya dan dirakam seorang penunggang motosikal di lokasi terbabit.

Turut tular bersama video terbabit, satu pesanan suara berdurasi sembilan saat mendakwa seorang individu bernama ‘Aboi’ diculik oleh tiga lelaki tempatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top