nfazlina@nstp.com.my
Pasir Mas: Polis memburu seorang wanita warga emas yang menyamar sebagai tetamu di majlis perkahwinan sebelum melarikan beg tangan mengandungi wang tunai RM2,500 di Kampung Tasek Berangan di sini, pada 1 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed, berkata wanita berkenaan berusia 61 tahun.
Katanya, laporan polis dibuat oleh pemilik beg tangan berusia 59 tahun yang juga saudara kepada keluarga pengantin pada petang Selasa lalu berhubung kes kecurian terbabit.
“Susulan itu, kita sudah pergi ke dua lokasi bagi mengesan suspek warga emas berkenaan namun kediaman terbabit tiada orang.
“Alamat terakhir suspek adalah di Jalan Dusun Muda, Kota Bharu. Orang ramai yang mengenali wanita berkenaan yang bernama Tuan Maimun Che Tuan itu diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis.
“Kerugian yang dialami mangsa adalah sebanyak RM2,500,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dalam bangunan.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita yang dikatakan mengambil beg tangan mengandungi wang tunai berjumlah RM2,500 di majlis perkahwinan di Kampung Tasek Berangan, di sini, tular di media sosial..
Kejadian itu berlaku pada jam 12.42 tengahari 1 Februari apabila wanita berkenaan dikatakan menyamar sebagai tetamu untuk menumpang tandas sebelum melarikan wang tunai.
Berdasarkan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 38 saat itu, wanita bertudung dan memakai baju kurung itu dilihat keluar dari tandas.
Wanita itu kemudiannya ke ruang tamu yang turut terdapat dua kanak-kanak bermain di ruang berkenaan.
Selepas itu, wanita berkenaan mengambil beg dipercayai milik tuan rumah yang mengandungi wang tunai RM2,500.
© New Straits Times Press (M) Bhd




