am@hmetro.com.my
Beluran: Polis mengesan seorang lelaki warga asing yang disyaki terbabit kes amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.
Suspek yang dikenali dengan panggilan ‘Khan’ dilaporkan melakukan kejadian berkenaan di sebuah rumah di Telupid, di sini, 13 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid berkata, hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku di rumah keluarganya sendiri mangsa.
“Polis menerima laporan daripada mangsa jam 4 petang di Balai Polis Telupid.
“Suspek berusia 20-an yang dipercayai warga Pakistan melarikan diri dan usaha memburu lelaki terbabit sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Hasan meminta orang ramai memberi kerjasama untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian ini atau suspek untuk membantu siasatan lanjut.
Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Sandra di talian 011-2806 6182 atau balai polis Beluran 089-511 222 atau balai polis Telupid 089-521 721.
© New Straits Times Press (M) Bhd