harisfadli@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Polis sedang mengesan orang hilang, Nurul Alia Izzati Arif, 24, yang kali terakhir dilihat di kawasan parkir pusat beli-belah IOI Damansara, Kota Damansara, di sini, pada 5.10 petang, 31 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan wanita itu 1.15 tengah hari, semalam.
“Orang hilang adalah wanita Melayu berusia 24 tahun dengan ketinggian 145 sentimeter (cm), berat badan 37.5 kilogram (kg), berkulit putih susu, berambut pendek dan berwarna hitam.
“Orang hilang juga memiliki mata berwarna hitam, mulut dan bibir nipis serta hidung tidak mancung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan mangsa dimohon tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222.
© New Straits Times Press (M) Bhd