Polis dapatkan kerjasama pihak berkuasa luar negara siasat artikel Bloomberg

Polis dapatkan kerjasama pihak berkuasa luar negara siasat artikel Bloomberg

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis akan mendapatkan kerjasama pihak berkuasa luar negara berkaitan siasatan lanjut penyiaran artikel diterbitkan Bloomberg yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya sudah hadir ke pejabat media antarabangsa itu di ibu kota untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, pihaknya juga sudah bertemu beberapa kakitangan agensi berkenaan dan dimaklumkan mereka yang berkaitan berpangkalan di luar negara.

“Jadi tindakan yang selanjutnya kita kena buat melalui Bantuan Perundangan Bersama (Mutual Legal Assistance – MLA) atau agensi ke agensi bagi mendapatkan kerjasama pihak berkaitan.

Sebelum ini, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung penyiaran artikel diterbitkan Bloomberg yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M Kumar dipetik berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan polis dan sedang menjalankan siasatan berhubung penyiaran artikel yang diterbitkan syarikat media antarabangsa itu.

Terdahulu media melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki memulakan tindakan undang-undang terhadap laporan Bloomberg baru-baru ini, yang disifatkannya sebagai mengelirukan, berunsur fitnah dan menjejaskan reputasi beliau serta integriti suruhanjaya berkenaan.

Dalam kenyataan menerusi peguamnya, Tetuan Zain Megat & Murad, firma itu memaklumkan pihaknya diarahkan untuk memulakan tindakan berkenaan dan mendapatkan segala tindakan yang berkaitan dengan penerbitan itu termasuk tuntutan ganti rugi dan relief lain yang bersesuaian.

Sebelum ini, laporan Bloomberg mendakwa, Azam, 62, memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia berdasarkan pemfailan tahunan oleh Velocity Capital kepada kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu.

Menurut laporan Bloomberg, sehingga 10 Februari lalu nama Azam masih tersenarai dalam daftar pemegang saham Velocity Capital di SSM yang boleh diakses melalui pangkalan data berbayar dan dikemas kini secara berkala.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top