Alor Setar: Polis sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak hospital berhubung dakwaan beberapa individu tercedera selepas terkena mercun bola di Tobiar, Pendang.
Ketua Polis Daerah Pendang Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata dalam kejadian yang difahamkan berlaku pada malam raya Aidilfitri itu, kesemua mangsa telah dibawa ke Bahagian Kecemasan Hospital Pendang untuk mendapatkan rawatan.
“Setakat ini, tiada laporan yang dibuat oleh pihak hospital atau mana-mana pihak yang lain. Polis akan ke hospital hari ini untuk mendapatkan butir-butir lengkap berhubung kejadian itu.
“Daripada hasil maklumat awal yang diperoleh nanti, laporan akan dibuat oleh pihak polis bagi tujuan siasatan lanjut. Maklumat lanjut berhubung kes ini akan dimaklumkan nanti,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial Facebook yang memaparkan gambar beberapa individu cedera dengan keterangan gambar ‘tragedi pakar bom dari Tobiar, Pendang, Kedah..ujikaji custom mercun bola, tujuh mangsa beraya di hospital’.
© New Straits Times Press (M) Bhd




