am@hmetro.com.my
Melaka: Polis Melaka mendedahkan wanita yang mendakwa suaminya ditembak polis di Durian Tunggal, baru-baru ini, sebenarnya kekasih kepada salah seorang penjenayah yang ditembak mati dalam kejadian itu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, wanita berusia 31 tahun dan tidak bekerja itu bukan isteri sah kepada individu terbabit.
Menurut beliau, sebaliknya, suspek terbabit dalam insiden itu mempunyai isteri yang menetap di Johor namun suspek tinggal bersama kekasihnya di Durian Tunggal sejak tiga tahun lalu.
Katanya, siasatan lanjut mendapati wanita itu mempunyai 10 rekod jenayah lampau sejak 2012, termasuk kes curi kenderaan, samun dan cubaan bunuh.
“Wanita itu juga pernah ditangkap di Jasin berkaitan kes samun pada Julai lalu.
“Bapa kepada wanita itu juga mempunyai 24 rekod jenayah lampau sejak 2022, dan beberapa kes dijatuhi hukuman,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Legasi 04 RXZ X 125 ZR Melaka Attack 2025, yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, di Dataran Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC) Ayer Keroh, malam tadi.
Dzulkhairi turut mengesahkan, bapa wanita itu berusia 55 tahun masih dikehendaki polis untuk siasatan kes curi kenderaan dan curi dalam bangunan.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai status dua beranak itu yang didakwa mempunyai rekod jenayah.
Pada 3 Disember lalu, media melaporkan bahawa ahli keluarga tiga penjenayah terbabit menolak dakwaan bahawa ketiga-tiga suspek yang mati itu bertindak ganas dengan menyerang pihak polis.
Susulan itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat dakwaan ahli keluarga tiga suspek lelaki yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis.
Kejadian tembak-menembak berlaku kira-kira 4.30 pagi apabila tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka melibas parang terhadap seorang anggota polis di sebuah ladang sawit di Durian Tunggal.
Akibat serangan berkenaan, anggota polis berpangkat koperal berusia awal 30-an itu parah pada lengan kiri.
Ketiga-tiga suspek disyaki terbabit dalam 20 kes jenayah di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan jumlah kerugian dianggarkan berjumlah RM1.35 juta.
© New Straits Times Press (M) Bhd




