NEW YORK – Seorang lelaki bersenjata disyaki maut selepas melepaskan tembakan yang mencederakan sekurang-kurangnya seorang pegawai polis New York dan dua orang awam berhampiran sebuah bangunan pejabat korporat di Midtown Manhattan, malam Isnin.
Pesuruhjaya Jabatan Polis New York (NYPD), Jessica Tisch menerusi hantaran di platform X berkata, keadaan kini terkawal dan suspek yang bertindak bersendirian telah “dineutralkan”.
Menurut sumber, lelaki terbabit dilihat memasuki bangunan berkenaan dengan membawa senapang panjang.
Seorang mangsa awam kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal, manakala seorang lagi mangsa serta pegawai polis yang terkena tembakan di bahagian belakang dijangka selamat.
Pasukan pemusnah bom NYPD turut berada di lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.
Difahamkan, pegawai polis yang cedera bertugas di daerah Bronx dan berada berhampiran bangunan terbabit ketika insiden berlaku.
Timbalan Pengarah FBI, Dan Bongino berkata pihaknya bertindak pantas dengan menggerakkan bantuan ke lokasi kejadian yang kini diklasifikasikan sebagai kawasan jenayah aktif, menurut Timbalan Pengarah FBI, Dan Bongino.
Datuk Bandar New York, Eric Adams turut mengesahkan terdapat siasatan aktif berhubung kejadian tembakan tersebut sedang dijalankan di kawasan Midtown.
“Sekiranya anda berada berdekatan, sila ambil langkah berjaga-jaga dan elakkan keluar dari rumah, khususnya berhampiran Park Avenue dan East 51st Street,” katanya menerusi X.
Gabenor New York, Kathy Hochul dalam satu kenyataan di platform sama berkata beliau telah dimaklumkan mengenai insiden itu dan menggesa orang ramai untuk menjauhi kawasan berkenaan.
Rakaman video yang tular menunjukkan kehadiran besar-besaran pihak berkuasa keselamatan di sekitar bangunan tersebut, termasuk anggota polis yang dilihat bergegas masuk ke dalam premis.
Menurut NYPD, situasi di lokasi kejadian masih lagi terkawal dan keselamatan diperketatkan.
Bangunan pencakar langit setinggi 634 kaki yang terletak di 345 Park Avenue itu menempatkan pejabat korporat National Football League (NFL) dan syarikat pelaburan Blackstone.
Premis berkenaan meliputi satu blok penuh dan merupakan antara 41 bangunan di New York City yang mempunyai poskod sendiri.
Sementara itu, Pusat Pengurusan Kecemasan Bandar New York mengeluarkan amaran mengenai kelewatan trafik, penutupan jalan, gangguan pengangkutan awam serta kehadiran petugas kecemasan di kawasan terbabit.- CNN