Hong Kong: Polis Hong Kong memfailkan pertuduhan membunuh terhadap bekas mentua seorang model dan pempengaruh yang anggota badan dan tengkoraknya ditemukan di dalam peti sejuk serta periuk di sebuah rumah.
Bekas bapa mentua model Hong Kong, Abby Choi dan anak sulungnya didakwa atas pertuduhan membunuh.
Bekas ibu mentua Choi berdepan satu pertuduhan menghalang keadilan, kata polis dalam satu kenyataan Ahad.
Menurut Superintendan Alan Chung, pihak berkuasa juga menahan bekas suami wanita itu pada Sabtu, dan akan mendakwanya atas tuduhan pertuduhan membunuh.
Keempat-empat mereka akan hadir di mahkamah hari ini.
Kes mengerikan itu terbongkar apabila pegawai polis pada Jumaat menemui mayat Choi bersama dokumen pengenalan lain selepas mangsa dilaporkan hilang selama beberapa hari.
Mayat mangsa dikerat dan disimpan di dalam peti sejuk di rumah kampung luar bandar di Tai Po dekat pinggir bandar Hong Kong berhampiran sempadan dengan tanah besar China.
Pada taklimat berita Ahad, Chung berkata pihak berkuasa menemui tengkorak wanita muda yang dipercayai milik Choi dalam salah satu periuk memasak yang mereka rampas, bersama beberapa rusuk, rambut dan isu manusia.
Dalam periuk lain, ahli patologi forensik juga menemui sebilangan kecil tulang manusia.
Chung berkata, Choi dipercayai diserang di dalam kereta dan tidak sedarkan diri ketika tiba di rumah, malah polis masih berusaha untuk mengetahui masa sebenar kematian dan masih mencari bahagian badan dan tangannya.
Pada Ahad, polis juga menahan seorang wanita dipercayai kekasih kepada bekas bapa mentua Choi dipercayai membantu suspek lain.
Chung berkata, suspek terbabit dipercayai menyewa sebuah rumah bersama-sama bekas bapa mentua wanita itu, dan menyewa satu lagi rumah untuk menyembunyikan bekas suami mangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




