
Kumpulan Peronda Lebuhraya Polis Negara Filipina telah mengerahkan 175 kakitangan dan aset mobiliti untuk meningkatkan keselamatan bagi acara berkaitan Sidang Kemuncak ASEAN di Cebu pada Mei nanti – Foto: Agensi
MANILA – Kumpulan Peronda Lebuhraya Polis Negara Filipina (PNP-HPG) telah mengerahkan 175 kakitangan dan aset mobiliti untuk meningkatkan keselamatan bagi acara berkaitan Sidang Kemuncak ASEAN di Cebu pada Mei.
Agensi Berita Filipina (PNA) melaporkan kontinjen itu terdiri daripada 175 kakitangan HPG iaitu 108 penunggang motosikal yang mengendalikan 108 motosikal, 38 pemandu dan 24 kru yang mengendalikan 38 kenderaan peronda bergerak, serta diawasi lima pegawai konvoi.
Pada majlis pelepasan pada Selasa, pemangku pengarah PNP-HPG Brig. Jeneral Rommel Batangan menekankan kepentingan misi itu, menggariskan bahawa penempatan tersebut mewakili komitmen negara terhadap kerjasama global, keamanan dan perpaduan serantau.
Beliau juga mengingatkan kakitangan bahawa mereka berkhidmat sebagai barisan hadapan dalam memastikan pergerakan delegasi dan kenamaan ASEAN selamat dan terjamin.
“Objektif kami jelas: sifar insiden, mobiliti lancar dan kebanggaan negara,” kata Batnagan kepada kontinjen.
“Kehadiran anda di jalan raya mesti mencerminkan ketenteraman, keselamatan dan kecemerlangan semasa anda membawa kedua-dua lencana HPG dan bendera Filipina.”
Kakitangan dan aset HPG yang ditempatkan akan menyokong pengurusan trafik, keselamatan laluan dan penyelarasan mobiliti keseluruhan di Cebu sebagai sebahagian daripada pendekatan keseluruhan kerajaan untuk memastikan pelaksanaan ASEAN 2026 yang selamat dan teratur. – Bernama



