am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Polis Kelantan merampas pelbagai jenis rokok dipercayai diseludup bernilai lebih RM2.6 juta dalam dua serbuan berasingan di Kuala Krai dan Tanah Merah, Selasa lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, serbuan pada 9.30 pagi di Kilometer (KM) 15, Jalan Kuala Krai- Gua Musang, Kuala Krai menahan seorang lelaki yang juga pemandu lori berusia 50 tahun.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas lori 6.5 tan yang dipandu lelaki itu, menemukan 300 peti mengandungi lebih tiga juta batang rokok tidak bercukai pelbagai jenama keseluruhannya bernilai lebih RM2.6 juta.
“Serbuan berikutnya pada 2 petang di sebuah rumah di Tanah Merah, yang menemui dua kotak rokok tidak bercukai dan dua telefon bimbit anggaran keseluruhan bernilai RM7,000. Seorang lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan penyimpanan rokok itu ditahan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(E) kerana memiliki dan mengendalikan barangan tidak bercukai serta Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan atau memiliki barang tidak berkastam atau larangan import,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi itu dijalankan hasil maklumat risikan dan pihaknya memandang serius kegiatan penyeludupan rokok yang bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah menyebabkan kerugian besar kepada hasil negara.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau penyimpanan barangan tidak bercukai diminta menyalurkan kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




