am@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Ubah suai struktur kenderaan seperti ekzos dan penggunaan nimbir pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi adalah antara kesalahan yang dikesan dilakukan pengguna jalan raya sepanjang Operasi Samseng Jalanan (Op Motokar) dilancarkan di Lebuh Medini Utama di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, sepanjang operasi itu, sebanyak 32 keping saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk kesalahan lain di bawah peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Iskandar Puteri menjalankan Op Motokar di lokasi berkenaan yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan kumpulan motokar yang terbabit dalam aktiviti berbahaya seperti lumba haram dan aksi pemanduan merbahaya.
“Operasi ini dilaksanakan dengan kerjasama Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah (BPJKKD) Iskandar Puteri,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, hasil risikan dan operasi yang dijalankan, sebanyak 45 kereta diperiksa membabitkan 63 lelaki dan 14 wanita berusia antara 18 hingga 50 tahun.
Pada masa sama, Kumarasan memberi peringatan tegas bahawa pihaknya tiada kompromi terhadap mana-mana individu yang cuba melakukan aktiviti samseng jalanan di kawasan Iskandar Puteri yang jelas mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
“Operasi ini akan dilakukan secara berterusan bagi mencegah kegiatan lumba haram serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam Daerah Iskandar Puteri terjamin,” jelasnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




