hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Kuala Lumpur bekerjasama rapat dengan Bukit Aman dan kontinjen lain bagi mengesan suspek kes tembakan yang berlaku di Cheras dan Brickfields, baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, beberapa siri mesyuarat penyelarasan diadakan dalam siasatan kes berkenaan serta memburu suspek.
“Setakat ini, siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti individu terlibat.
“Bagi kes Cheras, kita juga sedang meneliti beberapa motif kejadian bersama JSJ (Jabatan Siasatan Jenayah) Sarawak,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, fotofit individu dipercayai tidak dapat dibuat kerana saksi di lokasi memaklumkan suspek memakai pelitup muka dan topi ketika kejadian.
Sebelum ini, siasatan awal polis mendapati kejadian dua kes tembakan dalam tempoh empat hari di Brickfields dan Cheras iaitu pada 13 dan 16 Jun lalu, menunjukkan kedua-duanya membabitkan elemen kongsi gelap.
Dua kes tembak yang berlaku dalam tempoh empat hari di sekitar ibu negara dipercayai akibat perseteruan antara suspek dan mangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd