PORT-AU-PRINCE: Polis Haiti menahan seorang lelaki yang didakwa bermotifkan politik dalam merekrut penembak bersenjata yang membunuh Presiden, Jovenel Moise minggu lalu.
Ketua Polis Nasional Haiti, Leon Charles, berkata Christian Emmanuel Sanon, 63, yang berketurunan Haiti memasuki negara itu menggunakan pesawat peribadi dengan tujuan politik.
Suspek dikatakan tiba di negara kepulauan itu pada Jun lalu bersama beberapa individu termasuk warga Colombia.
Dalam pada itu, seramai 18 warga Colombia ditahan sejak Rabu lalu dan hasil siasatan mendapati Sanon merekrut 26 anggota melalui CTU, sebuah syarikat keselamatan Venezuela yang berpusat di Florida.
“Ketika polis menyekat tindakan mereka melakukan jenayah, orang pertama yang disebut oleh seorang penyerang adalah Christian Emmanuel Sanon.
“Dia menghubungi dua orang lain yang kami anggap sebagai dalang pembunuhan Presiden, Jovenel Moise,” kata Charles tanpa mendedahkan identiti dua suspek lain.
Sementara itu, anggota Biro Penyiasatan Persekutuan AS (FBI), Jabatan Negara, Jabatan Kehakiman, Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri tiba di Haiti semalam dan bertemu ketua polis.
Menurut pihak berkuasa Haiti, 28 penyerang menyerbu rumah keluarga Moise dan melepaskan tembakan terhadap presiden dan isterinya, Martine.
Dalam serangan itu, presiden terbunuh, manakala Martine cedera parah dan dibawa ke hospital Miami untuk mendapatkan rawatan.
Insiden pembunuhan terbabit meningkatkan lagi kekacauan di negara termiskin di Amerika itu dan dalam masa yang sama, masyarakat antarabangsa menggesa negara berkenaan meneruskan pemilihan presiden yang dijadualkan akhir tahun ini.
Presiden Senat Haiti, Joseph Lambert, berkata beliau bertemu dengan delegasi Amerika Syarikat (AS) dan menerima resolusi Senat yang memilihnya sebagai presiden sementara republik.
Rombongan delegasi itu juga bertemu dengan Perdana Menteri sementara Claude Joseph, yang mengatakan bahawa dia masih menggalas tanggungjawab itu. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




