Polis Indonesia perketat kawalan keselamatan menjelang Hari Easter

Polis Indonesia perketat kawalan keselamatan menjelang Hari Easter

JAKARTA: Polis Indonesia hari ini menegaskan pihaknya akan meningkatkan kawalan keselamatan gereja di seluruh negara menjelang perayaan Hari Easter hujung minggu ini, susulan dua serangan di gereja yang dikaitkan dengan kumpulan pelampau.

Jurucakap Polis Nasional, Rusdi Hartono berkata, ia susulan keadaan keselamatan baru-baru ini terutama insiden di Makassar, Sulawesi dan pihaknya sudah mengarahkan anggotanya di semua wilayah untuk meningkatkan kawalan keselamatan terhadap tindakan kumpulan pelampau bagi memastikan perayaan berlangsung aman, lapor agensi berita CNA.

Media tempatan melaporkan, pengeboman bunuh diri di luar gereja dekat bandar itu Isnin lalu, dilakukan oleh dua anggota kumpulan pelampau Daesh yang menaiki motosikal yang meletupkan diri mereka sendiri.

Kira-kira 20 penganut Kristian cedera akibat letupan kuat di luar gereja bandar Makassar di Sulawesi ketika mereka menyambut permulaan Minggu Suci.

Sementara itu, semalam, seorang wanita berusia 25 tahun yang menyamar sebagai penghantar dokumen didakwa melakukan tembakan di dalam ibu pejabat polis di Jakarta sebelum suspek itu ditembak mati.

Rusdi berkata, polis akan memeriksa gereja untuk mengesan bom serta barangan mencurigakan lain sebelum ketibaan orang ramai.

“Polis juga dikerahkan mengawal pintu masuk dan pintu gereja serta memeriksa barangan yang dibawa masuk,” katanya.

Pengumuman polis itu dibuat selepas Presiden Indonesia, Joko Widodo mengecam kedua-dua tindakan keganasan itu.

Rusdi berkata, siasatan dalaman sedang dijalankan bagi menyiasat sama ada anggota yang mengawal pintu ada memeriksa tubuh atau barangan yang dibawa suspek.

“Dia menyelinap masuk ke ibu pejabat dengan membawa pistol. Kami sedang mengaudit prosedur keselamatan dan jika terdapat kekurangan ia akan ditambah baik.

“Ia bukan hanya di ibu pejabat tetapi dibuat ke semua balai polis,” katanya. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top