
Penahanan itu berlaku di tengah-tengah tindakan Israel yang semakin memuncak terhadap Masjid Al-Aqsa. Foto Agensi
BAITULMAQDIS – Polis Israel pada petang Isnin menahan imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Mohammed al-Abbasi, dari dalam pekarangan masjid di Baitulmaqdis yang diduduki, lapor Anadolu Ajansi.
Agensi berita Palestin WAFA, memetik sumber tempatan, melaporkan bahawa “tentera Israel menahan Sheikh al-Abbasi di dalam pekarangan Masjid Al-Aqsa” tanpa memberikan sebarang alasan.
Ia menambah bahawa penahanan itu “berlaku di tengah-tengah tindakan Israel yang semakin memuncak terhadap Masjid Al-Aqsa yang diberkati, termasuk sekatan ke atas imam, penceramah dan jemaah yang berkawal di sana, had kemasukan jemaah, serta pencerobohan yang semakin sengit oleh pendatang haram di bawah perlindungan ketat polis Israel.”
Pada Selasa, Hamas mengecam penahanan al-Abbasi dalam satu kenyataan, dengan menyatakan bahawa beliau telah “dikenakan perintah larangan daripada memasuki masjid.”
Pergerakan itu berkata, tindakan tersebut “merupakan campur tangan jelas dalam urusan Al-Aqsa dan serangan yang tidak boleh diterima terhadap imam-imamnya.”
Hamas menyeru “rakyat Palestin di Baitulmaqdis, di seluruh Tebing Barat dan di dalam wilayah 1948 untuk terus berkawal di Al-Aqsa, mengunjungi dan mengekalkan kehadiran, serta menjadi benteng menentang rancangan untuk mengganggu identitinya.”
Hamas juga menggesa Liga Arab, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), serta negara Arab dan Islam “untuk mengambil tindakan segera melalui semua saluran yang mungkin bagi melindungi Masjid Al-Aqsa daripada bahaya Yahudisasi, dan mengambil langkah praktikal untuk menekan pihak penjajah serta memaksa mereka menghentikan pelanggaran tersebut.”
Baitulmaqdis yang diduduki, terutamanya di Kota Lama dan kawasan sekitar Masjid Al-Aqsa, menyaksikan ketegangan yang semakin meningkat di tengah-tengah tindakan keselamatan Israel yang diperketatkan, termasuk penangkapan dan perintah larangan terhadap tokoh agama serta aktivis Palestin di Baitulmaqdis. – Bernama-Anadolu
Ringkasan AI
- Polis Israel menahan imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Mohammed al-Abbasi di Baitulmaqdis yang diduduki
- Penahanan itu tidak disertai sebarang alasan dari pihak Israel
- Tindakan Israel meningkat termasuk sekatan terhadap imam dan jemaah Masjid Al-Aqsa
- Hamas mengutuk penahanan al-Abbasi dan serangan terhadap imam Masjid Al-Aqsa
- Ketegangan di Baitulmaqdis meningkat akibat tindakan keselamatan yang diperketatkan oleh Israel



