Polis jalankan siasatan bas dipandu melulu dan berbahaya

Polis jalankan siasatan bas dipandu melulu dan berbahaya

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis sedang menjalankan siasatan terhadap sebuah bas ekspres yang didakwa memandu secara melulu dan berbahaya di Lebuhraya Utara-Selatan seperti video tular, baru-baru ini.

Bas berkenaan dilihat menyalahgunakan lorong kecemasan dan turut memotong ke beberapa lorong secara berbahaya.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, JSPT Kulai sudah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

“Pemandu terbabit dan pengendali bas itu sudah dirakam percakapan mereka bagi membantu siasatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan kesalahan lalu lintas dan turut memberi jaminan tindakan sewajarnya sedang diambil.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa bersabar dan berhemah di jalan raya bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Memandu secara melulu bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah berisiko mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menggantung lesen operasi sebuah syarikat bas selama 30 hari susulan insiden tular baru-baru ini membabitkan pemandunya yang didakwa memandu laju dan memandu secara berbahaya.

Apad berkata permit kenderaan berkenaan akan dibatalkan berkuat kuasa 7 Ogos ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top