am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Satu sindiket pengedaran dadah didalangi wanita warga Vietnam tumpas, hasil serbuan dua unit kediaman di apartmen berpagar dan berpengawal di daerah ini, minggu lalu.
Dalam serbuan antara jam 2.15 petang, 25 Julai lalu hingga 12.30 tengah malam, 26 Julai lalu, sejumlah dadah yang dianggarkan bernilai lebih RM4.9 juta dirampas.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, sindiket yang aktif sejak April lalu itu dipercayai memproses dan membungkus semula dadah dalam paket kecil sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Dalam serbuan pertama, kita menahan seorang wanita warga Vietnam berusia 31 tahun yang mana kita percaya dia menyewa kediaman berkenaan dan menjadikannya tempat untuk didiami dan menyimpan dadah.
“Dengan dipandu arah suspek, kita menyerbu sebuah lagi unit rumah di apartmen sama dan menemui pelbagai jenis dadah dan kita percaya di kediaman yang disewa oleh individu lain ini, suspek menjadikan ia sebagai lokasi membungkus semula dadah.
“Kita mendapati suspek menggunakan ramuan lain seperti serbuk kopi untuk dicampur bagi menghasilkan dadah,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Kumar berkata, pihaknya merampas 29,219 gram serbuk ekstasi, 131 gram atau 353 biji pil ekstasi dan 200 gram ketamin yang semuanya bernilai lebih RM4.9 juta yang mana jika semua dadah ini terlepas ke pasaran, ia boleh digunakan oleh 97,849 orang penagih dadah.
Katanya, polis turut merampas pelbagai alatan memproses dan membungkus semula dadah selain menyita wang tunai RM3,000, wang tunai asing dan pelbagai jenis barang kemas dengan nilai sitaan RM38,555.60.
Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif ketamin, manakala semakan rekod mendapati dia tidak mempunyai rekod lampau jenayah mahu pun dadah.
“Suspek kini direman sehingga 8 Ogos ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.
“Kita juga percaya masih ada rangkaian atau ahli yang terbabit dengan sindiket ini masih bebas termasuk seorang lelaki warga tempatan bernama Terrence Ki Kek Ding berusia 35 tahun yang beralamat tetap di Kuching, Sarawak yang mana kita percaya dia boleh membantu siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd