Polis Kajang lupus barang kes bernilai RM1.87 juta

Polis Kajang lupus barang kes bernilai RM1.87 juta

KAJANG: Polis daerah Kajang hari ini melupuskan lebih 200,000 barang kes terdiri peralatan bitcoin, mesin judi, peralatan komputer, rokok dan arak yang dianggarkan bernilai lebih RM1.87 juta.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, ia selepas arahan pelupusan oleh mahkamah ke atas barangan kes membabitkan 313 kertas siasatan sejak 2019 hingga tahun ini.

Kata beliau, barang kes perjudian yang dirampas menerusi Op Dadu merangkumi 1,504 set mesin slot, komputer, komputer riba, telefon bimbit, pembesar suara yang bernilai RM109,400.

“Turut dilupuskan barang kes Op Kontraban iaitu 572 tin minuman keras bersama 23,469 botol arak serta 4,018 karton kotak rokok pelbagai jenama bernilai RM908,700,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelupusan Barang Kes di Balai Polis Bandar Baru Bangi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Naazron berkata, barang kes bitcoin dan pusat panggilan penipuan yang merangkumi 713 mesin bitcoin; peralatan elektrik lain (84); komputer dan komputer riba (127); telefon bimbit (411); kad ATM (13) serta cakera padat (173,065) dengan keseluruhan berjumlah RM858,600 turut dilupuskan.

Selain itu, katanya, turut dilupuskan adalah 205 bungkusan berisi pelbagai dokumen. – UTUSAN

Scroll to Top