
Polis Toronto menyatakan sesi berbalas tembakan berlaku di dalam bangunan berkenaan menyebabkan seorang pegawai mengalami kecederaan parah yang membawa maut. – Foto: Agensi
TORONTO – Seorang pegawai polis Kanada maut ditembak dalam satu serbuan di Toronto awal pagi Khamis yang dikaitkan dengan beberapa siri insiden senjata api baru-baru ini, termasuk kes tembakan di Konsulat Amerika Syarikat (AS) sebelum ini, menurut polis tempatan, lapor Agensi Berita Xinhua.
Polis Toronto menyatakan bahawa insiden itu berlaku pada kira-kira 5.40 pagi waktu tempatan ketika pegawai polis sedang melaksanakan waran geledah di sebuah bangunan pangsapuri kediaman. Sesi berbalas tembakan berlaku di dalam bangunan berkenaan, menyebabkan seorang pegawai mengalami kecederaan parah yang membawa maut.
Pegawai yang terkorban dikenal pasti sebagai Konstabel Marc Pinizzotto, 43, seorang anggota berpengalaman luas yang telah berkhidmat selama 18 tahun dengan Perkhidmatan Polis Toronto. Pinizzotto dikejarkan ke hospital tempatan namun disahkan meninggal dunia kemudiannya.
Menurut polis, serbuan itu adalah sebahagian daripada siasatan yang lebih luas terhadap beberapa kes tembakan di seluruh Greater Toronto Area, termasuk serangan berprofil tinggi pada Mac apabila beberapa das tembakan dilepaskan ke arah bangunan Konsulat AS di pusat bandar Toronto.
Seorang suspek yang terlibat dalam kejadian berbalas tembakan pada Khamis itu telah dimasukkan ke hospital dan berada dalam keadaan kritikal. Sementara itu, polis Toronto melancarkan operasi memburu suspek kedua yang dikenali sebagai Zara Jabbi, 19.
Perdana Menteri Kanada Mark Carney dan Datuk Bandar Toronto Olivia Chow telah menyampaikan ucapan takziah secara terbuka kepada keluarga dan rakan sekerja pegawai berkenaan. – Bernama



