am@hmetro.com.my
Alor Setar: Polis belum dimaklumkan lagi berhubung penganjuran Himpunan Rakyat Honggaq Kedah yang akan diadakan di hadapan Pejabat Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman pada 24 Ogos depan.
Terdahulu, melalui hebahan aplikasi TikTok memaklumkan, Perhimpunan Rakyat itu dijangka akan dilakukan oleh individu tertentu bagi mendesak penurunan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor.
Hebahan itu memaklumkan, perhimpunan akan diadakan pada jam 2 petang pada tarikh berkenaan dan ramai dalam kalangan badan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan hadir menghantar memorandun menyatakan ketidakpuasan mereka berkaitan 10 isu rakyat yang belum diselesaikan.
Ketua Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah berkata, setakat ini pihaknya hanya mengetahui perhimpunan itu melalui media sosial dan belum menerima maklumat secara rasmi setakat ini.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bersedia untuk menghadapi perhimpunan itu nanti.
“Kita tak boleh halang tindakan mereka nak berhimpun ni, cuma saya nasihatkan kalau nak berhimpun dan tak ada persetujuan, ikutlah peraturan dan garisan undang-undang yang ditetapkan.
“Perlu diingatkan, mereka tidak boleh membawa senjata, kanak-kanak dan tidak boleh beri kenyataan yang menyentuh 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) dan dilakukan secara aman,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kedah dan Pemakaian Lencana Pangkat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.
Majlis Pemakaian Lencana Pangkat itu dilakukan oleh Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ibrahim Darus kepada Ketua Polis Kedah dan Timbalan Ketua Polis Kedah.
Dalam pada itu, Adzli yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Kedah dengan pangkat Deputi Komisioner Polis kini dinaikkan pangkat sebagai Komisioner Polis.
Beliau kemudian menyerahkan tugasnya itu kepada Deputi Komisioner Polis Baderulhisham Baharudin yang sebelum ini berpangkat Senior Asisten Komisioner (SAC).
Baderulhisham sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Perlis manakala Asisten Komisioner Mohd Ismail Ibrahim yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Kedah memegang sebagai Timbalan Ketua Polis Perlis dengan pangkat Senior Asisten Komisioner (SAC).
© New Straits Times Press (M) Bhd