Polis Kedah kukuhkan kawalan sempadan susulan konflik Thailand-Kemboja

Polis Kedah kukuhkan kawalan sempadan susulan konflik Thailand-Kemboja

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kedah mengambil langkah berjaga-jaga dengan memperkukuhkan lagi pintu sempadan negara susulan konflik Thailand-Kemboja.

Ketua Polis Kedah Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pihaknya mengambil serius situasi yang berlaku di sempadan negara jiran kerana Kedah antara negeri utama yang bersempadan dengan Thailand.

“Walaupun konflik itu berlaku di sempadan Thailand-Kemboja yang agak jauh dari Kedah, namun pihaknya tidak boleh alpa dan tetap mengambil langkah berjaga-jaga.

“Selain itu, dengan bantuan agensi seperti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang semakin agresif, kita akan terus memperketatkan kawalan di sempadan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.

Terdahulu, Adzli hadir pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kedah dan Pemakaian Lencana Pangkat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Dalam pada itu, Adzli berkata, sebaik beliau menerajui kepimpinan PDRM Kontinjen Kedah, hala tuju utamanya adalah untuk memerangi dadah seperti yang sudah digariskan oleh bekas Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh, sebelum ini.

“Selepas dua minggu saya menjalankan tugas, didapati hampir 50 peratus indeks jenayah di Kedah datang daripada kes curi termasuk mencuri hasil tanaman seperti buah-buahan.

“Penjenayah utama dalam kes ini adalah penagih dadah. Kami sudah mencapai beberapa kejayaan di kawasan sempadan, antaranya penahanan beberapa warga asing dari India yang terbabit dalam aktiviti dadah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top