Polis Kelantan Buru Dua Rakan Aniaya Eda Ezrin

Polis Kelantan Buru Dua Rakan Aniaya Eda Ezrin

Polis Kelantan kini memburu dua rakan yang didakwa menganiayai penyanyi wanita terkenal Kelantan, Eda Ezrin sehingga dia, suami dan empat rakan ditahan selama 9 bulan di Penjara Pusat Wilayah Narathiwat.

Memetik Astro Awani, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata lelaki dan wanita terbabit didakwa menjadi punca penyanyi itu bersama rakan ditahan.

BACA:Eda Ezrin Minta Ruang, Mohon Jangan Diganggu

“Semasa soal siasat pada Khamis dan Jumaat, kesemua mereka memberikan kenyataan yang konsisten. Eda Ezrin dan empat lagi tidak mengaku atas tuduhan memiliki dadah dan mereka mendakwa dianiayai oleh dua rakan terbabit,” katanya.

Menurut pihak polis lagi, dua individu tersebut sudah berada dalam senarai pemerhatian polis dan kini sedang diburu.

Tambahnya lagi, pihaknya akan memanggil semula Eda Ezrin, suami serta empat rakan jika diperlukan.

“Di Thailand, Eda Ezrin serta suami dan empat rakan hanya disabitkan kesalahan urin positif serta menjalani penjara tiga bulan atas kesalahan tersebut,” katanya.

Terdahulu, Eda Ezrin, suami dan empat rakan didakwa di Mahkamah Wilayah Narathiwat atas dua kesalahan iaitu mengambil dadah dan memiliki 6,059 biji pil kuda.

Mereka mengaku mengambil dadah namun tidak mengaku memiliki pil kuda berkenaan semasa ditahan di sebuah hotel di Golok pada 1 November lalu.

Sumber: Astro Awani


Scroll to Top