nfazlina@nstp.com.ny
Kota Bharu: Polis Kelantan perketat kawalan di sempadan Kelantan-Thailand termasuk menggunakan dua dron bagi melakukan pemantauan susulan paras air Sungai Golok semakin cetek.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata pihaknya juga sudah memaklumkan kepada rakan strategik iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung kawalan di sempadan.
“Kita tidak melakukan penambahan anggota memandangkan sempadan dibantu Pasukan Gerakan Am (PGA), namun kita juga menggunakan dua unit dron untuk pantau yang dikendalikan Pasukan Gerakan Udara (PGU).
“Setakat ini walaupun Sungai Golok cetek, belum ada cubaan penyeludup secara besar-besaran dikesan masuk di Kelantan.
“Namun semalam polis Thailand merampas 500 kilogram (kg) pil yaba dipercayai untuk dibawa masuk ke Kelantan menggunakan perkhidmatan kurier, namun berjaya dipatahkan polis Thailand,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada asnaf dan ibu tunggal oleh Persatuan Kebajikan An’anisa Rahmah Kelantan, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, cuaca panas menyebabkan paras air di beberapa sungai utama di Kelantan berada di bawah paras normal.
Menurut portal publicinfobanjir.water.gov.my, antara sungai yang berada di paras normal adalah Sungai Golok di di Rantau Panjang, Sungai Golok di Kampung Jenob, Empangan Bukit Kwong dan Sungai Kelantan di Tambatan Diraja.
© New Straits Times Press (M) Bhd




