Polis Kelantan pantau ICQS, pergerakan di sempadan

Polis Kelantan pantau ICQS, pergerakan di sempadan

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Pemantauan rapi dibuat di tiga Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di negeri ini susulan pergerakan keluar masuk yang tinggi di sempadan menjelang Aidilfitri.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, hampir 10,000 pergerakan keluar masuk direkodkan setiap hari bermula tiga hari lalu.

“Paling banyak adalah di ICQS Rantau Panjang dan kekerapannya adalah dari negara ini ke negara jiran (Thailand) kerana ramai yang ingin pulang berhari raya.

“Kita akan pantau pergerakan keluar masuk itu dan dalam masa yang sama Pasukan Gerakan Am (PGA) turut perhebatkan lagi kawalan di sempadan terutama pangkalan haram kerana dibimbangi ada yang menggunakan laluan itu untuk keluar masuk,” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu Mohd Yusoff hadir dalam program advokasi, menyantuni petugas seterusnya berbuka puasa bersama warga JSPT di persimpangan lampu isyarat Wakaf Siku di sini.

Dalam perkembangan lain, beliau menasihati orang ramai terutama remaja dan kanak-kanak agar tidak bermain mercun atau bunga api berbahaya bagi mengelakkan menjadi mangsa letupan.

Beliau berkata, banyak kejadian letupan yang mendatangkan kecederaan adalah disebabkan ubah suai mercun.

“Rakyat kita ini kreatif, mercun yang dibuat elok-elok, mereka ubah suai maka terjadilah insiden yang tidak diingini.

“Nasihat saya, jika ingin juga bermain mercun atau bunga api, mainlah 36 jenis yang dibenarkan dan jangan sekali-kali ubah suai,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 23 kes membabitkan mercun dilaporkan setakat kelmarin dengan 13 mangsa dimasukkan ke wad, manakala selebihnya menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Lima kes dirawat di Hospital Jeli diikuti Hospital Tanah Merah, Hospital Pasir Mas dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) masing-masing tiga kes.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top