Polis Kelantan tingkat pemantauan sempadan susulan ancaman bom Thailand

Polis Kelantan tingkat pemantauan sempadan susulan ancaman bom Thailand

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Polis Kelantan akan meningkatkan pemantauan keselamatan di sempadan negara susulan ancaman bom di wilayah pelancongan selatan Phuket dan Phang Nga di negara jiran, baru-baru ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pemantauan itu untuk memastikan tahap keselamatan di sempadan sentiasa terjamin.

Menurutnya, polis juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara jiran.

“Walaupun ancaman bom itu agak jauh dari sempadan negara, namun pihak kita sentiasa meningkatkan pemantauan dan rondaan bagi memastikan keselamatan penduduk berdekatan sempadan Kelantan-Thailand terjaga.

“Kita juga menasihatkan penduduk sama ada dari Kelantan atau luar supaya sentiasa berwaspada apabila berkunjung ke negara jiran.

“Ambil maklum dan peka terhadap maklumat yang disampaikan oleh pihak keselamatan kita dan juga kerajaan Thailand,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau menasihatkan penduduk negara ini supaya tidak berkunjung ke kawasan yang dikesan berbahaya bagi mengelakkan perkara buruk daripada berlaku.

Terdahulu media melaporkan, Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra mengarahkan semua agensi kerajaan berada dalam tahap berjaga-jaga yang tinggi dan meningkatkan pemantauan susulan ancaman bom baru-baru ini di wilayah pelancongan selatan Phuket dan Phang Nga.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top