mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Polis sedang mengesan keluarga kepada tiga beradik yang memandu kereta di kawasan perumahan tanpa ditemani orang dewasa, selepas video mengenainya tular di WhatsApp.
Dalam video berdurasi 1 minit 49 saat, seorang wanita dirakam menegur remaja lelaki berusia 14 tahun yang memandu kereta Perodua Viva, serta dinaiki dua lagi kanak-kanak dipercayai adiknya.
Difahamkan, itu bukan insiden pertama kali, sebaliknya remaja berkenaan didakwa sudah beberapa kali memandu kereta namun lokasinya tidak diketahui.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya sedang meneliti kes itu dan menyemak sama ada terdapat laporan dibuat atau tidak.
“Kita juga akan mengesan keluarga kanak-kanak terbabit untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Terdahulu, video mengenai ‘pemandu cilik’ itu tular yang mendapat reaksi pelbagai masyarakat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




