Polis kesan lelaki cuba pecah tabung surau

Polis kesan lelaki cuba pecah tabung surau

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Polis giat mengesan seorang lelaki selepas perbuatannya cuba memecah tabung derma sebuah surau di Kampung Parit Bingan Tengah, Parit Raja dekat sini, tular di media sosial.

Suspek dipercayai berusia 30-an bagaimanapun pulang dengan tangan kosong selepas cubaannya beberapa kali mengumpil lubang tabung gagal.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 12.01 tengah malam tadi.

Shahrulanuar berkata, laporan dibuat selepas pihak pengurusan surau meneliti kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di premis itu.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku pada jam 5.28 petang 24 Mac lalu. Dalam kejadian itu, kerugian direkodkan adalah RM45 membabitkan kos membaiki tabung terbabit.

“Sehingga kini belum ada tangkapan dibuat dan polis sedang mengenal pasti dan mengesan suspek,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri dalam bangunan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top