am@hmetro.com.my
Segamat: Polis giat mengesan seorang lelaki susulan video tular menunggang secara berbahaya sambil membakar mercun.
Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintendan M Nantha berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku pada 10.30 malam Ahad lalu di Kilometer 185 Jalan Johor Bahru-Seremban, membabitkan penunggang motosikal Yamaha RXZ.
“Polis memandang serius kejadian ini dan sedang giat mengesan suspek bagi membantu siasatan lanjut.
“Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu dengan menghubungi Balai Polis Trafik IPD Segamat di talian 07-9325811,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menegaskan, tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang serta membahayakan keselamatan awam.
Terdahulu, rakaman video tular menunjukkan penunggang berkenaan menunggang motosikal sambil membakar mercun, dengan percikan api jelas kelihatan di bahagian tangan sebelum dilempar ke jalan.
Aksi berbahaya itu turut mengundang kecaman orang ramai kerana berisiko kemalangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




