Ipoh: Polis giat mengesan lima lagi suspek bagi melengkapkan siasatan kejadian merusuh semasa perlawanan bola sepak di Padang Speedy, Teluk Intan pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, tujuh suspek berusia 21 hingga 32 tahun direman selama tiga hari bermula 8 Ogos lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan akan diberi jamin polis, hari ini.
“Kertas siasatan akan dirujuk ke Jabatan Peguam dalam minggu ini bagi mendapatkan arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada 8 Ogos lalu, media melaporkan polis menahan tujuh lelaki disyaki terbabit dalam kejadian merusuh semasa perlawanan bola sepak berkenaan.
Tangkapan dilakukan selepas menerima laporan daripada seorang lelaki yang memaklumkan terdapat pergaduhan membabitkan dua pasukan bola sepak tempatan yang bermain dalam Liga Integriti Hilir Perak 2025.
© New Straits Times Press (M) Bhd