am@hmetro.com.my
Subang Jaya: Polis sedang mengesan mangsa dan suspek berhubung hantaran tular yang mendakwa seorang lelaki merakam bahagian bawah skirt wanita di sebuah premis dalam pusat beli-belah di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya mengesahkan sudah menerima laporan berhubung video tular berkenaan.
“Siasatan sedang giat dijalankan bagi mengesan serta mengenal pasti mangsa dan suspek yang terbabit. Perkembangan (berhubung kes berkenaan) akan dimaklumkan,” katanya dalam kenyataan ringkas di sini, hari ini.
Terdahulu, seorang pengguna media sosial berkongsi video dan hantaran mendakwa seorang lelaki dilihat merakam gambar bahagian bawah skirt wanita sebelum cuba melarikan diri apabila menyedari kegiatannya itu disedari individu terbabit.
Dakwanya lelaki lelaki berusia 30-an hingga 40-an itu sempat ditahan dan berpura-pura memadam gambar sambil berdalih dengan mendakwa tidak mengambil gambar apabila individu terbabit meminta untuk melihat telefon lelaki itu.
“Masa itu gambar memang sudah tiada. Kami bersama kakitangan kedai minta tengok kamera litar tertutup (CCTV) dan memang sah dia (lelaki terbabit) ada curi ambil gambar, malah sangat jelas,” dakwanya dalam hantaran berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




