hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis sedang mengesan suspek lelaki yang menampar pelajar tingkatan satu dalam satu insiden di premis makanan di Stesen LRT Pasar Seni pada Selasa.
Kejadian yang berlaku kira-kira 1.30 tengah hari itu tular di media sosial dan mengundang kemarahan warganet.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pihaknya kini sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 susulan penyebaran kes berkenaan secara dalam talian,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan remaja lelaki berusia 13 tahun cedera ditampar lelaki yang tidak dikenali secara tiba-tiba.
Farhan Nasir Muhammad Isa berkata, dia ke premis berkenaan bagi membeli roti dan terus ke kaunter selepas melihat tiada orang beratur, namun tiba-tiba ditampar lelaki terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




