Polis kesan syarikat e-dagang tawar cetak sijil vaksinasi

Polis kesan syarikat e-dagang tawar cetak sijil vaksinasi

bhnews@bh.com.my

ALOR SETAR: Polis Kedah mengesan sebuah syarikat e-dagang di negeri ini menawarkan perkhidmatan percetakan sijil digital vaksinasi serendah RM15 melalui laman sosial.

Ketua Polis negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat, bagaimanapun berkata setakat ini tiada kes membabitkan penipuan berhubung perkara itu dilaporkan.

“Selepas ini, kita akan menghubungi syarikat e-dagang terbabit supaya menarik balik iklan mencetak sijil digital vaksinasi bagi mengelak kebimbangan orang ramai.

“Setakat ini, tiada lagi laporan polis membabitkan penipuan, tetapi jika ada (penipuan) kita akan ambil tindakan tegas,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini, hari ini.

Terdahulu, polis negeri menerima sumbangan empat unit dron dan 20 unit pendingin hawa mudah alih sumbangan daripada kerajaan negeri.

Sumbangan disampaikan oleh Menteri Besar Kedah, Muhamad Sanusi Md Nor kepada Kamarul Zaman.

Media sebelum ini melaporkan, polis Kedah menerima satu laporan berhubung isu penjualan sijil digital vaksinasi palsu yang tular di media sosial.

Laporan berhubung kegiatan itu diterima jam 9.44 malam tadi dan susulan itu satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top