safeek@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Empat remaja bawah umur, antara 20 individu yang ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, selepas dipercayai terbabit dengan sindiket perjudian dalam talian dan pelaburan tidak wujud.
Serbuan dijalankan oleh Bahagian Jenayah Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) JSJ Kuala Lumpur, sejak jam 9.30 malam tadi ke atas sebuah residensi mewah di Jalan Tun Razak, di sini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata semua remaja berusia antara 16 hingga 18 tahun itu berasal dari selatan tanah air dan ditawarkan gaji lumayan RM3,500 sebulan.
“Pada mulanya remaja yang ditahan ini memperoleh kerja berkenaan melalui tawaran dalam aplikasi media sosial dan ditawarkan tempat tinggal di unit kediaman residensi mewah untuk bekerja sebagai pekerja pusat khidmat pelanggan.
“Selepas bersetuju dengan kerja berkenaan, remaja ini akan dibawa oleh pemandu yang diupah sindiket untuk membawa mereka dari selatan tanah air dengan menaiki van atau kereta,” katanya selepas serbuan berkenaan.
Nasri berkata, sindiket itu menjalankan operasi jenayah mereka di unit kondominum yang disewa dengan harga antara RM6,500 hingga RM10,000 sebulan.
Katanya, dalam serbuan keempat itu, 20 orang yang ditahan terdiri daripada 16 lelaki termasuk seorang warga China.
Turut ditahan, empat wanita termasuk seorang warga Vietnam yang berperanan sebagai pembantu rumah.
“Ada antara mereka cuba melarikan diri dan merebus nombor akaun dipercayai milik mangsa bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan,” katanya.
Beliau berkata, mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




