Kuantan: Polis melengkapkan kertas siasatan bagi kes membabitkan seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang disyaki menghina Islam.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek masih dalam tahanan reman dan kertas siasatan sudah dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya.
“Jadi, kita menunggu arahan selanjutnya,” katanya selepas Majlis Berbuka Puasa PDRM Kontinjen Pahang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, setakat malam ini, pihaknya menerima 28 laporan polis di seluruh negara mengenai kes itu.
“Saya mohon kepada masyarakat untuk menunggu tindakan selanjutnya dan pihak polis akan ambil tindakan sewajarnya terhadap kes ini,” katanya, sambil menambah suspek memberikan kerjasama yang baik sepanjang proses siasatan dijalankan.
Dua hari lalu, seorang penuntut UMPSA ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial.
Terdahulu, tular gambar kaki seorang lelaki dewasa memijak al-Quran dan tangkap layar hantaran individu didakwa penuntut UMPSA itu di media sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd




