Polis lepaskan tembakan, suspek dadah bertindak ganas berjaya ditahan

Polis lepaskan tembakan, suspek dadah bertindak ganas berjaya ditahan

am@hmetro.com.my

Beaufort: Tindakan tiga lelaki disyaki pengedar dadah memecut kereta secara melulu sehingga hampir merempuh anggota polis ketika diarahkan berhenti dalam satu serbuan, memaksa pihak berkuasa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kenderaan dinaiki mereka.

Kejadian berlaku jam 4.15 pagi Jumaat lalu di Jalan Membakut, ketika Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort menjalankan ‘Ops Gempur’.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Wong Leong Meng berkata, sebaik kereta Proton Waja dinaiki tiga lelaki dipintas, pegawai operasi memperkenalkan diri dengan melaungkan perkataan ‘polis’.

“Namun, pemandu kereta terbabit bertindak agresif dengan meluru ke hadapan, hingga hampir merempuh pasukan serbuan.

“Bagi mempertahankan diri, polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kenderaan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kereta suspek berjaya dipintas di tepi Jalan Pan Borneo berhampiran Kampung Lumat.

“Tiga suspek cuba melarikan diri ke kawasan semak namun dua berjaya diberkas manakala seorang lagi masih bebas.

“Dua suspek yang ditahan berusia 29 dan 18 tahun.

“Siasatan lanjut membawa kepada penemuan kotak rokok mengandungi 51.28 gram syabu bernilai RM3,800, yang disimpan dalam poket seluar salah seorang suspek,” katanya.

Menurutnya, pasukan operasi turut merampas sebuah kereta Proton Waja, kunci kenderaan dan telefon bimbit bagi membantu siasatan.

“Semakan mendapati salah seorang suspek memiliki empat rekod lampau berkaitan dadah, manakala rakannya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Kedua-dua mereka kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya sedang mengesan seorang lagi suspek yang melarikan diri termasuk mengenal pasti sumber bekalan dadah diperoleh kumpulan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top