Polis masih tunggu laporan forensik telefon bimbit CEO Batu

Polis masih tunggu laporan forensik telefon bimbit CEO Batu

PETALING JAYA: Laporan analisis forensik ke atas telefon bimbit membabitkan pempengaruh media sosial dikenali sebagai CEO Batu masih belum diperoleh polis.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, laporan itu penting bagi membantu polis melengkapkan kertas siasatan.

“Belum lagi (tuduh), setakat ini laporan forensik (telefon bimbit) belum lagi diterima dari pihak berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan pempengaruh itu ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghantar beberapa mesej berbaur lucah kepada remaja bawah umur berusia 14 tahun.

Difahamkan, lelaki berusia 22 tahun terbabit hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, 22 Mei lalu.

Sebelum itu, CEO Batu dihentam teruk selepas penyanyi dan pempengaruh, Caprice mendedahkan beberapa kiriman mesej yang didakwa berbaur lucah dihantarnya kepada remaja bawah umur.

Menerusi beberapa hantaran di Instagram, Caprice memaklumkan dihubungi ibu kepada remaja terbabit yang meminta bantuannya selepas anaknya didakwa menjadi mangsa gangguan seksual pempengaruh itu.

CEO Batu kemudian membuat permohonan maaf kepada ibu remaja itu dan ingin berjumpa bagi menyelesaikan isu berkenaan. – UTUSAN

Scroll to Top